Perbuatan ‘ikut suka’

WAJARKAH tindakan mana-mana pihak dengan sesuka hati menampal pelekat dalam bahasa Cina di beberapa buah papan tanda jalan di sekitar bandar raya Kuching? Siapa sebenarnya yang berkuasa?

Adakah tindakan itu boleh dianggap ‘menceroboh’ kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) atau boleh juga dianggap sebagai vandalisme? Apa hak mereka berbuat demikian?

Apa yang pasti tindakan itu boleh mengundang sesiapa sahaja melakukan sesuka hati menampal papan tanda itu. Akhirnya undang-undang tidak lagi dihormati.

Hari ini, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) secara ‘sukarela’ mengambil inisiatif menampal bahasa Cina di beberapa nama jalan iaitu Jalan Main Bazaar, Wayang Street, dan Jalan Greenhill.

Mereka didakwa berbuat demikian atas alasan ia perlu diterjemahkan dalam bahasa itu untuk keperluan pelancong dari China.

Tindakan yang diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan itu turut ditularkan di media sosial dan mengundang pelbagai komen daripada netizen.

PBT perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat supaya tidak ada lagi ‘pencerobohan’ seumpama itu.

Sementara itu Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)) Dr Abdul Rahman Junaidi dilaporkan berkata perbuatan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

“DAP tidak sepatutnya mengheret DBKU dalam (memenuhi kehendak agenda) politik mereka. Mereka tidak sepatutnya terikut-ikut dengan apa yang dilakukan (tanpa mengambil kira sensitiviti di antara kaum seperti) di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Abdul Rahman, tindakan itu dianggap vandalisme dan melanggar peraturan DBKU kerana ia tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan tindakan DAPSY Sarawak ini sebagai sengaja untuk mengeksploitasikan isu bahasa yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Related posts

Leave a Comment