Tokoh Ma’al Hijrah 1442H

KUALA LUMPUR : Penghargaan berganda buat Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah apabila diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah.

Baru-baru ini, beliau dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Malam ini, di majlis sambutan yang diadakan di Masjid Negara, Dr Noor Hisham menerima anugerah itu bersama Syeikh Al-Azhar Al-Syarif Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib yang diumum Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringat nasional dan global.

Malah kedua-dua tokoh terbabit mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh terbabit masing-masing, menerima pingat dan sijil penghargaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan anugerah berkenaan pada majlis itu. 

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan isteri Noorainee Abdul Rahman.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham dalam catatn facebooknya mengucapkan terima kasih kepada semua di atas sokongan yang diberi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya petugas barisan hadapan dan belakang tabir warga kesihatan.

“Anugerah ini adalah manifestasi penghargaan kepada semua petugas kementerian dan agensi yang bersama-sama membendung pandemik Covid-19 demi kesejahteraan ummah dan negara,” katanya.

Dr. Noor Hisham dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 29 Januari 2008. Beliau kemudian menjadi Ketua Pengarah Kesihatan sejak 1 Mac 2013.

Dr Noor Hisham merupakan Doktor Perubatan pada tahun 1988 dan Master of Surgery M.S (UKM) pada 1994. Beliau juga Felo Academy of Medicine Malaysia (FAMM) 2004 dan turut mempunyai kelulusan Program Pengurusan Lanjutan, Oxford Business School, UK 2008.

Sementara itu, Syeikh Prof. Dr Ahmad Al-Tayyib pula merupakan Syeikhul Azhar al-Syarif pada tahun 2010 sehingga sekarang.

Beliau pernah dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Wilayah Qena pada 27 Oktober 1991 hingga 31 Ogos 1991 dan Dekan Fakulti Pengajian Islam (lelaki) di Wilayah
Aswan, pada 15 November 1995.
Pada 10 Mac 2002 sehingga 27 September 2003, beliau juga merupakan Mufti Negara bagi Republik Arab Mesir dan kemudian menjadi Rektor Universiti al-Azhar bermula 28 September 2003 sehingga 19 Mac 2010.
Beliau memperoleh Sarjana Muda (Ba Hons.) dalam bidang Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir pada tahun 1969.
Selain itu, beliau turut memiliki Sarjana (MA) dalam bidang Akidah dan Falsafah di Universiti alAzhar, Republik Arab Mesir pada tahun 1971, Doktor Falsafah (PHD) dalam bidang Akidah dan Falsafah di Universiti al-Azhar, Republik Arab Mesir pada tahun 1977.

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!