11 kes : 3 tempatan, 8 import

PUTRAJAYA: Sebanyak 11 kes positif baharu Covid-19 –  tiga kes penularan dalam negara dan lapan kes import dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak berkenaan setakat ini sebanyak 9,114 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes penularan dalam negara membabitkan dua rakyat Malaysia yang dikesan melalui saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di Kedah manakala satu lagi melibatkan warga asing yang dikesan melalui saringan tahanan baharu di lokap Balai Polis Tawau, Sabah.

Dua rakyat tempatan itu telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Kedua-dua kes ini tidak berkait antara satu sama lain.

Dalam kenyataannya, Dr. Noor Hisham berkata, kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 berjumlah 172 kes.

Mengenai lapan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, Dr Noor Hisham berkata tujuh merupakan rakyat tempatan dan seorang bukan warganegara.

Katanya kes-kes tersebut merangkumi tiga kes masing-masing dari Singapura dan Filipina manakala masing-masing satu kes dari Australia dan Jepun.

Sementara itu, sebanyak lapan kes pulih daripada Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh sebanyak 8,817 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiada kes kematian berkaitan virus itu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes maut kekal 125 kes.

Sehingga kini, satu kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment