Thailand catat lima kes baharu

SINGAPURA mencatat 42 kes kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 11 daripadanya adalah kes import. Hanya ada satu kes dalam komuniti, melibatkan warga Singapura sementara majoriti kes adalah daripada pekerja warga asing yang sedang dikuarantin. Jumlah keseluruhan jangkitan kini mencecah 55,395.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) semalam,  kira-kira 22,500 pekerja masih berada dalam tempoh kuarantin. 

Singapura mengklasifikasikan 763 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,195 kes komuniti dan 52,395 kes merupakan penghuni asrama.

Sejumlah 50,128 pesakit atau kira-kira 90 peratus daripada jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan 104 kes masih di hospital.

INDONESIA kini mencecah 130,718 kes Covid-19 manakala 86,619 orang masih dalam pemantauan virus itu.

Data di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, menunjukkan, sebanyak 1,942 kes baharu disahkan, menjadikan jumlah kes 130,718.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini juga sebanyak 79 lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan 5,903 orang.

Jakarta mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 27,153 kes, diikuti Jawa Timur (26,220) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Jawa Timur mencatatkan kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,931 orang, diikuti Jakarta (959), Jawa Tengah (751), Sulawesi Selatan (338) dan selebihnya di wilayah lain.

THAILAND merekodkan lima kes baharu jangkitan Covid-19 yang menjadikan jumlah kes positif kini 3,356 kes.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), tiga daripada kes baharu itu melibatkan pelajar Thailand yang berumur 23, 24 dan 29 tahun yang pulang dar Mesir pada 30 Julai lalu dan dikuarantin di Chan Buri.

Seorang lagi pelajar berusia 18 tahun, tiba dari India pada 30 Julai dan didapati dijangkiti virus pada ujian kedua pada Isnin ketika dikuarantin.

Kes kelima melibatkan lelaki warga Amerika Syarikat yang tiba pada 28 Julai dan dikuarantin di Bangkok.

Ketika ini 129 pesakit masih dirawat di hospital manakala jumlah kematian kekal 58 sejak 2 Jun lalu.

Related posts

Leave a Comment