PM Lebanon letak jawatan

KETIKA orang awam bangkit mengadakan tunjuk perasaan, Perdana Menteri Lebanon, Hassan Diab mengumumkan peletakan jawatan berikutan dua letupan dahsyat yang menghancurkan sebahagian besar bandar raya Beirut minggu lalu.

Dalam ucapan ringkas yang disiarkan menerusi televisyen, Hassan menyatakan beliau mengundur diri agar dapat bersama rakyat dan berjuang untuk perubahan bersama mereka.

Beliau yang menganggap letupan itu sebagai ‘malapetaka’ juga berkata, dia sudah hilang harapan dengan kerajaan.

Justeru, beliau memahami keperluan untuk berlaku perubahan daripada ‘pemerintahan rasuah dan berniat jahat, broker dan rombakan bagi menjadikan Lebanon sebagai sebuah negara yang mempunyai, keadilan dan ketelusan’.

Sebelum itu semua anggota Kabinetnya turut meletak jawatan.

Demonstrasi diperbaharui menjadi ganas di Beirut sejak Sabtu, selepas letupan maut yang menggegarkan kawasan pelabuhan bandar pada hari Selasa, membunuh sekurang-kurangnya 200 orang dan mencederakan ribuan.

Orang awam berang dengan bencana yang didakwa akibat salah pengurusan dan perbuatan rasuah.

Sebelum itu Menteri Keadilan Lebanon Marie Claude Najm, Menteri Maklumat Manal Abdel Samad, dan Menteri Alam Sekitar Damianos Kattar telah mengumumkan peletakan jawatan mereka berikutan bantahan pada hujung minggu.

Related posts

Leave a Comment