Letupan : Lubnan berkabung, Beirut darurat

LUBNAN berkabung dan Beirut diisytiharkan darurat dua minggu berikutan dua letupan besar yang menggegarkan Beirut pada Selasa (4 Ogos), menyebabkan 78 terbunuh dan kira-kira 4,000 orang cedera.

Letupan itu turut menggoncangkan bangunan dan menyebabkan kepulan asap tebal menyelubungi ruang udara Beirut.

Rakaman video letupan kedua menunjukkan bebola api gergasi berwarna jingga yang menyelubungi bangunan-bangunan berdekatan dan mencetuskan kesan gelombang seakan-akan puting beliung menyebabkan kemusnahan di kawasan bandar itu.

Ratusan orang yang cedera dalam letupan di pelabuhan Beirut itu dibawa ke hospital namun ramai penduduk masih terperangkap di dalarm rumah yang musnah akibat letupan itu.

Stesen penyiar Lebanon LBCI menukil Hospital Hotel Dieu di Beirut menyatakan bahawa ia sedang merawat lebih daripada 500 orang yang mengalami kecederaan dan tidak berupaya menerima lebih ramai pesakit. Puluhan orang memerlukan pembedahan, menurut hospital itu sambil merayu bagi pendermaan darah.

Ketua keselamatan dalam negeri Lubnan Abbas Ibrahim kemudian berkata satu letupan besar di kawasan pelabuhan Beirut berlaku dalam satu bahagian yang menyimpan bahan-bahan mudah meletup, dan bukan bahan letupan seperti yang dilaporkan sebelum ini oleh agensi berita negara rasmi NNA.

Letupan besar yang berlaku di kawasan pelabuhan Beirut dapat dirasakan di sebahagian besar bandar itu dan beberapa daerah terputus bekalan elektrik.

Presiden Lubnan, Michel Aoun memanggil mesyuarat tergempar Kabinet dan pada masa yang sama meluluskan sejumlah AS$65 juta daripada peruntukan belanjawan tahun ini sebagai bantuan kecemasan.

Aoun turut mempersoalkan tindakan gudang bunga api yang menyimpan 2,750 tan ammonium nitrat tanpa langkah keselamatan yang didakwa menjadi punca letupan itu.

Beliau berikrar akan mengambil tindakan keras terhadap pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan letupan berkenaan.

“Kilang berkenana telah diberi amaran sejak 2014 selepas didakwa melanggar peraturan berkaitan pengurusan keselamatan,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment