Perintah berkurung di Manila

MANILA dan wilayah berhampiran dikenakan perintah berkurung kali kedua selama dua minggu mulai hari ini selepas mendapat gesaan 100 persatuan perubatan yang mewakili 80,000 doktor dan sejuta jururawat yang berharap pemerintah mengenakan kawalan yang lebih ketat.

Pada Ahad, kerajaan Filipina mengumumkan Metro Manila dan wilayah-wilayah berdekatan seperti Laguna, Cavite, Rizal dan Bulacan kembali diletakkan di bawah perintah berkurung sehingga 18 Ogos bagi membendung jumlah kes yang melambung tinggi sejak perintah itu dilonggarkan pada Jun.

Polis mengadakan sekatan jalan raya terhadap kira-kira 28 juta penduduk di Manila dan wilayah berdekatan.

Sebahagian perniagaan yang sebelum ini dibenarkan beroperasi ditutup semula sementara sektor perkhidmatan penting termasuk bank, kesihatan, dan pemprosesan makanan menggalakkan pekerja bekerja di rumah dan hanya ke pejabat apabila perlu.

Pihak berkuasa juga menghentikan pengangkutan awam, kedai gunting rambut dan salun ditutup, sekali gus menjejaskan mata pencarian penduduk.

Jalan raya bertukar lengang dengan kawalan ketat oleh anggota polis tetapi

masih terdapat beberapa kelonggaran di mana perjalanan menaiki basikal, motosikal dan kereta persendirian dibenarkan atas alasan penting.

Setakat pukul 4 petang semalam, 4 Ogos 2020, Jabatan Kesihatan (DOH) Filipina melaporkan jumlah kes Covid-19 meningkat kepada 112,593.

Semalam, sebanyak 6,352 kes dilaporkan, kes harian tertinggi dilaporkan berdasarkan jumlah ujian yang dilakukan oleh 80 daripada 94 makmal operasi semasa.

DOH juga mengumumkan 11 kematian menjadikan 2,115 kematian manakala 240 pesakit sembuh yang membawa jumlah keseluruhan sembuh 66,049 kes.

Related posts

Leave a Comment