Sivagangga kesan 21 kes

SEHINGGA 3 Ogos 2020, pukul 12 tengah hari, sebanyak 425 orang disaring dan daripada jumlah itu, 21 kes dikesan positif Covid-19; 362 negatif; dan 42 kes masih menunggu keputusan.

Kes indeks Kluster PUI Sivagangga merupakan seorang pemilik kedai makan yang pulang ke Malaysia dari India dan diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (Home Surveillance Order – HSO).

Namun, beliau tidak mematuhi syarat-syarat perintah tersebut, menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 yang meluas dalam kluster ini.

Penularan ini telah dikenalpasti melalui aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif (Active Case Detection) yang dijalankan oleh Kerajaan. Bagaimanapun, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri menghadapi beberapa cabaran dalam aktiviti pengesanan kontak rapat.

Ini kerana kedai makan yang terbabit didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera mahupun merekod kehadiran serta suhu badan pelanggan-pelanggan di kedai makan ini.

Pada hari ini, satu (1) kes baharu telah dilaporkan dalam kluster ini (iaitu kes ke-9000), di mana beliau merupakan seorang pelanggan tetap kedai makan tersebut.

Beliau menjalani saringan Covid- 19 kendiri di fasiliti kesihatan swasta pada 27 Julai dan keputusan saringan Rapid Test Kit Antibody didapati negatif. Pada 31 Julai, beliau mula mengalami gejala demam dan batuk namun tidak menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan untuk rawatan segera.

Hanya satu hari kemudiannya, iaitu selepas penglibatan dalam aktiviti-aktiviti semasa Hari Raya Aidiladha, kes telah memaklumkan bahawa beliau merupakan kontak rapat kepada kes indeks.

Susulan itu, saringan dijalankan dengan menggunakan ujian RT-PCR dan kes didapati positif dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.

Mengambil iktibar daripada kes ini, KKM ingin mengingatkan masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan kes-kes positif Covid-19 atau maklumat yang berkenaan daripada pihak berkuasa.

Orang ramai sewajarnya tampil ke hadapan sekiranya berisiko tinggi atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19.

Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlu wujud dalam diri setiap individu agar kita dapat sama-sama membendung penularan jangkitan.

Semua majikan, peniaga, syarikat atau pemilik premis perlu mendaftar dengan aplikasi MySejahtera melalui laman sesawangnya setelah ia diwajibkan di semua premis bagi memudahkan proses pengesanan kontak rapat kes positif Covid-19

Related posts

Leave a Comment