6 kematian kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta

ENAM kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta dilaporkan sejak 2018 hingga kini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Siti Zailah Mohd Yusoff.

Katanya, kebanyakan mangsa ditinggalkan ketika ibu bapa pergi kerja atau hadir mesyuarat sehingga terlupa anak mereka berada di dalam kereta.

Pada tahun ini sebanyak dua kes dilaporkan, 2019 dan 2018 masing-masing dua kes. Walaupun, bilangan kes tidak menunjukkan jumlah yang besar, namun ia melibatkan nyawa anak kepada ibu bapa dan penjaganya.

“Memandangkan kes ini satu isu yang begitu besar dan betapa seriusnya insiden sebegini, kementerian mengambil langkah pencegahan advokasi dan intervensi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu situasi semasa serta tindakan konklusif KPWKM dalam menangani kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta secara tidak sengaja oleh ibu bapa mahupun penjaga.

Siti Zailah berkata kerajaan telah meminda Akta Kanak-kanak 2001 pada 2016 dengan mengenakan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak dengan memasukkan perkataan “atau bertindak secara cuai”.

“Tempoh hukuman maksimum penjara dinaikkkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun. Denda pula dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000… dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori,” katanya.

Beliau juga memberitahu perkhidmatan kaunseling turut diberikan kepada ibu bapa yang terkesan dengan kes seumpama itu.

Related posts

Leave a Comment