Situasi hari ini juga perlu pengorbanan

SELAMAT Hari Raya Aidiladha. Sekali lagi kita menyambut hari raya dalam suasana ‘dikawal’ SOP akibat Covid-19. Namun syukur Alhamdulillah kerana kali ini kita berpeluang solat Hari Raya Aidiladha di masjid atau surau. Selang beberapa jam, dapat pula solat Jumaat. Dua khutbah menjadi panduan.

Walaupun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita juga diberi kesempatan untuk melaksanakan ibadah korban dengan mematuhi SOP. Dalam erti kata lain, kita masih berpeluang melakukan ibadah walaupun ada batasnya mengikut pematuhan SOP.

Tidak seperti Hari Raya Aidilfitri yang lepas, kita terpaksa solat hari raya di rumah. Kita juga tidak boleh balik kampung.

Hari ini dan tiga hari berikutnya, kita berpeluang menyambut Aidiladha ini, bersamalah kita mematuhi SOP ketika berkunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai. Elakkan sebarang perhimpunan besar-besaran. Raikan dengan cara yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ingatlah risiko penularan jangkitan Covid-19 masih ada.

Begitu juga SOP ketika melakukan ibadah korban.

Ingatlah, apa yang sedang kita hadapi ini juga memerlukan pengorbanan termasuk dalam pengamalan agama kerana ada batas tertentu yang harus diperakui. Terimalah SOP atau keterbatasan itu secara positif. Lakukan pengorbanan ini dengan menyesuaikan diri berhubung aturan semasa demi menjaga perkara yang begitu penting ketika penularan wabak, iaitu memelihara keselamatan dan kesejahteraan ramai, dan lebih penting nyawa.

Justeru ketepikan kepentingan peribadi dan korbankan sebarang keselesaan atau kelonggaran yang kita nikmati sebelum ini. Jangan ambil mudah.
Kita jaga kita. Orang jaga kita. Kita jaga orang.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA.

Related posts

Leave a Comment