LIMA ‘21 dibatalkan

WABAK Covid-19 yang melanda dunia ketika ini menyebabkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2021 (LIMA’ 21) yang dijadual berlangsung 16 hingga 20 Mac tahun depan dibatalkan.

Kementerian Pertahanan, dalam satu kenyataan berkata, wabak tersebut mempunyai impak besar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, dan ia masih belum dapat ditangani sepenuhnya.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan selaku penganjur utama LIMA’21 juga sedar akan impak global Covid-19 yang bukan sahaja dari sudut kesihatan, malah kesan besar terhadap sosial dan ekonomi dunia.

“Sehubungan itu, kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai lepas memutuskan untuk membatalkan penganjuran LIMA’ 21 berdasarkan impak ekonomi penularan Covid-19,” kata kenyataan itu.

Impak ekonomi dilihat memberi kesan besar terhadap jumlah penyertaan pempamer dan pelabur dalam acara antarabangsa seperti LIMA’21.

Begitu juga dengan langkah diambil oleh kebanyakan negara untuk menutup sempadan dan menyekat perjalanan ke luar negara.

“Ia adalah bagi mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan seterusnya menyukarkan pihak kementerian untuk mencapai sasaran penyertaan yang ditetapkan, “ katanya.

Di samping itu kekangan masa dalam keadaan mencabar penganjuran acara berskala besar seumpama ini memerlukan tempoh wajar agar dapat dirancang dengan teliti dan terperinci.

Ini termasuk untuk menjalankan aktiviti promosi serta publisiti bagi mendapatkan sasaran penyertaan dan juga memenuhi keperluan pelbagai sektor berkaitan.

Related posts

Leave a Comment