Tiada kes tempatan, 4 import

PUTRAJAYA : Empat kes baharu dilaporkan hari ini, semuanya melibatkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, sementara tiada kes penularan tempatan dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kini 8,729 dan kes aktif dengan kebolehjangkitan virus adalah 83 kes. 

Kes import melibatkan tiga warganegara dan satu bukan warganegara (pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja).

Sementara itu, empat kes pulih menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan adalah 8,524 kes. Jumlah kematian pula kekal 122 kes.

Sehingga kini, terdapat enam kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, dua kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Mengenai kluster baharu di Melaka iaitu ‘Kluster PUI (individu dalam siasatan) Novgorod’, beliau berkata terdapat dua lagi kes positif baharu dikesan iaitu satu kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks kluster itu (kes ke-8,673) yang dikesan hasil siasatan lanjut kepada kes positif sedia ada.

Satu lagi kes merupakan kes baharu yang dilaporkan hari ini (iaitu kes import dari Rusia – kes ke-8,727). Beliau tiba di Malaysia pada 13 Julai 2020, dikesan positif semasa ujian RTK-Antigen di Pintu Masuk Antarabangsa. Beliau diasingkan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan. Beliau merupakan kontak rapat kes ke-8,673 dan kes ke-8,718 di Novgorod, Rusia.

Mengulas lanjut, sehingga hari ini, 22 orang telah disaring termasuk lima kes positif dalam kluster itu, manakala kesemua 17 kontak rapat telah disampel dan dikesan negatif.

“Daripada jumlah kontak rapat, 13 dikenal pasti dari pesawat yang dinaiki dan empat ahli keluarga kepada kes ke-8,718 dan kes ke-8,724. Tiga kes positif sedang di rawat di HSB dan dua lagi di Hospital Melaka. Satu daripada kes di Hospital Melaka itu adalah di ICU,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, siasatan lanjut dan aktiviti pengesanan kontak rapat kes positif baharu dalam kluster ini sedang dijalankan termasuk kontak terdekat dalam pesawat.

Menurutnya, arahan aktiviti nyah kuman dan pembersihan kapal terbang telah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada syarikat penerbangan kapal terbang semalam.

Anak-anak kapal yang berurusan dengan kes positif juga dimaklumkan supaya menjalani saringan kesihatan. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Related posts

Leave a Comment