Kes jangkitan berganda – WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran berhubung peningkatan jangkitan Covid-19 sepanjang tempoh enam minggu kebelakangan ini.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, sehingga Sabtu, sebanyak 12 juta kes positif direkodkan di seluruh dunia.

“Hari ini dunia merekodkan 12 juta kes. Dalam tempoh enam minggu lepas, kes jangkitan meningkat berganda.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, Covid-19 turut mengancam kehidupan,” katanya dalam taklimat media.

Katanya, penyakit lain seperti demam campak, polio dan malaria akan merebak sekiranya imunisasi terhenti dan rangkaian bekalan bekalan perubatan terganggu.

“WHO akan meneruskan usaha kerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan mereka yang paling terjejas mendapat keutamaan,” katanya.

Dr Tedros turut mengulangi saranan supaya komuniti dunia menunjukkan solidariti dalam memerangi koronavirus.

Beliau turut menarik perhatian kepada kes di Itali dan Korea Selatan.

Jelasnya, terdapat contoh bahawa negara yang pernah mencatat jangkitan tinggi berjaya mengawal semula penularan virus.

Sementara itu  data terbaharu daripada Johns Hopkins University, menunjukkan jangkitan setakat pagi Sabtu kini melebihi 12.38 juta kes.

Amerika Syarikat (AS) masih mendahului sebagai negara paling teruk terjejas.dengan jumlah jangkitan melebihi 3.1 juta kes positif.

Brazil negara kedua dengan kes positif 1.8 juta kes sementara India dan Rusia masing-masing merekodkan 793,000 dan 712,000 kes manakala Peru 319,600 dan Chile 309,274.

Bagi kes kematian pula, statistik Johns Hopkins University menunjukkan jumlah korban meningkat 5,000 kes dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kematian kini 559,000 kes.

AS merekodkan kematian tertinggi dengan 134,000 kes diikuti Brazil 70,398,  United Kingdom 44,735, Itali 34,938, Mexico34,191 dan Perancis 30,007.

Related posts

Leave a Comment