Hagia Sophia jadi masjid

MENJADI hak dan kedaulatan Turki untuk menentukan status Hagia Sophia. Itu penegasan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang meminta semua pihak menghormati keputusan undang-undang untuk menukar status bangunan ikonik itu yang ketika ini berfungsi sebagai muzium kepada masjid.

“Saya meminta semua menghormati keputusan yang dibuat oleh cabang kehakiman mengenai Hagia Sophia,” katanya sambil menghargai segala pandangan yang dinyatakan komuniti antarabangsa mengenai perkara itu.

Erdogan berkata, Hagia Sophia akan tetap dibuka kepada semua pengunjung.

Masjid itu akan dibuka untuk solat Jumaat bermula 24 Julai depan.

Sebelum ini, premis itu membenarkan semua penganut agama untuk bermeditasi dan menikmati keindahan seni bina bangunan berkenaan yang dibangunkan pada kurun keenam.

Ia ditukar menjadi masjid pada 1453 ketika Uthmaniah menawan Istanbul atau juga dikenali sebagai Constantinople.

Erdogan sebelum ini dilaporkan sebagai berkata,  tindakan mengubah Hagia Sophia (atau Ayasofya dalam sebutan Turki) kepada sebuah muzium merupakan satu ‘kesilapan besar’.

Katanya, sudah tiba masanya binaan yang menjadi mercu tanda Istanbul itu diubah semula menjadi sebuah masjid.

“Hagia Sophia tidak akan dijadikan muzium. Status itu akan ditukar dan kita akan mula mengenalinya sebagai Masjid Hagia Sophia. Sesiapa yang datang ke Hagia Sophia akan menziarahinya sebagai sebuah masjid,” katanya pada 2019.

Hagia Sophia berfungsi kira-kira 500 tahun sebagai masjid, menjadi model kepada masjid lain di kota itu antaranya Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru), Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.

Constantinople jatuh ke tangan Empayar Uthmaniyyah apabila Sultan Mehmed II, menguasai tempat itu yang kemudian dinamakan Istanbul pada 1453.

Baginda mengetuai solat Jumaat di situ dan mengarahkan bangunan itu diubah suai menjadi masjid. Arkitek terkenal Mimar Sinan diberi tanggungjawab memulihara bangunan itu. Sinan mereka bentuk dan memasang menara lambang masjid di luar selain mihrab dan mimbar.

Hagia Sophia kekal sebagai masjid hingga 1935 apabila fungsinya ditukar muzium oleh Pengasas Turki Moden dan presiden pertama negara itu Mustafa Kamal Ataturk, pemerintah Republik Turki (1923-1938).

Keputusan Mahkamah Turki dengan sokongan Kerajaan AKP pimpinan Erdogan ini bakal mengundang pelbagai reaksi kuasa Barat – lebih-lebih lagi dalam keadaan Turki berdepan cabaran geopolitik di Libya, Syria, dan Cyprus.

Namun begitu, Kerajaan Turki menegaskan bahawa kembalinya Hagia Sophia sebagai Masjid tidak bermakna lokasi berkenaan telah tertutup untuk dilawat oleh para pelancong dari seluruh dunia.

Related posts

Leave a Comment