Solat sunat Aidiladha di Perak

SOLAT Sunat Hari Raya Aidiladha secara berjemaah boleh dilaksanakan di seluruh masjid dan surau di Perak di mana jumlah jemaah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter di antara ahli jemaah.

Pelaksanaannya juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan dan kehadiran muslimah hendaklah bersama mahram.

“Memandangkan Hari Raya Aidiladha tahun ini jatuh pada hari Jumaat dan selaras dengan ketetapan ulil amri (pemerintah), solat Jumaat wajib dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, Shahrul Azam Shaari dalam satu kenyataan.

Katanya, Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, telah memberi perkenan setelah  menimbangkan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak,serta merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kehadiran menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha dan solat Jumaat, pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dan identiti para jemaah hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Mengenai ibadah korban, kebenaran diberi kepada ibadah yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid dan surau di kawasan halaman masjid dan surau.

“Kebenaran ini  terhad dengan berasaskan permohonan dan kelulusan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta tertakluk kepada pematuhan garis panduan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment