Singapura catat 42,313 kes

INDONESIA mencatatkan 954 lagi kes positif Covid-19 bagi tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes 46,845.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 35 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 2,500 orang.

Sebanyak 12,999 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 728 kes, diikuti provinsi Jakarta (586 kes), Jawa Barat (171), Kalimantan Selatan (165) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

SINGAPURA mengesahkan 218 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah jangkitan 42,313. Terdapat satu kes komuniti iaitu pemegang pas pekerja. Tiada kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan majoriti kes melibatkan pemegang permit kerja yang ditempatkan di asrama pekerja asing.

Setakat tengah hari semalam, 21 Jun 2020, sebanyak 34,942 atau kira-kira 83 peratus daripada jumlah pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

Terdapat 179 kes yang disahkan masih berada di hospital pada 21 Jun dengan satu kes dirawat dalam unit rawatan rapi..

Setakat ini, 26 orang dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

THAILAND melaporkan tiga kes baharu Covid-19 dan sifar kematian sejak 24 jam yang lepas. Tiga kes baharu itu – semuanya rakyat Thai berumur antara 11-34 tahun, yang baru pulang dari India pada 15 Jun dan sedang menjalani kuarantin.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, setakat 22 Jun, Thailand mencatatkan 3,151 kes dengan 58 kematian manakala 3,022 pesakit telah pulih.

Sejak 3 April, 214 rakyat Thai yang pulang dari luar negara disahkan positif Covid-19 dan daripada jumlah itu 143 kes pulih.

Sementara itu Thailand merancang untuk melonggarkan secara berperingkat-peringkat sekatan kemasukan warga asing selepas 28 hari tanpa sebarang jangkitan tempatan.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang 22 Jun 2020, melaporkan 630 kes Covid-19, iaitu 467 kes terkini dan 163 kes lewat lapor menjadikan jumlah keseluruhan 30,682 kes.

Jabatan Kesihatan juga melaporkan lapan kematian menjadikan 1,177 kes manakala 250 kes pulih yang membawa jumlah keseluruhan pemulihan kepada 8,143 kes.

Related posts

Leave a Comment