Elektrik percuma, potongan bil

PUTRAJAYA : Setelah timbul pelbagai persoalan mengenai bil elektrik, akhirnya empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah Bantuan Prihatin Elektrik tambahan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pengguna yang terlibat akan mendapat bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan dalam bil bulan Julai.

“Bantuan ini merupakan tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang telah dilaksanakan sejak 1 April lepas,” katanya.

Bagi pengguna dengan penggunaan elektrik 300kWj ke atas yang telah menjelaskan bil mereka, akan menerima potongan bil sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan itu dalam bil bulan Julai nanti.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata kajian yang dibuat oleh ST mendapati sebahagian besar pengguna elektrik yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah pengguna dalam blok tarif 301-600kWj dengan kadar tarif 51.6 sen/kWj.

Disebabkan penggunaan elektrik yang tinggi semasa PKP, kumpulan ini telah terkeluar daripada blok tarif yang sebelumnya dan memasuki blok tarif yang seterusnya iaitu dengan kadar 54.60 sen/kWj yang menyebabkan bil elektrik melonjak naik sekali gus menyaksikan pengurangan diskaun daripada 15 peratus kepada hanya dua peratus.

“Bagi membantu pengguna yang termasuk dalam kategori itu, kerajaan telah memperkenalkan diskaun tambahan kepada pengguna elektrik dalam blok tarif  601-900 kWj dengan bil elektrik antara RM232.35 hingga RM395.60.

“Mereka akan menikmati diskaun tambahan lapan peratus menjadikan 10 peratus sebulan bagi bil elektrik bulan April hingga September, berbanding hanya dua peratus yang dinikmati sejak April lepas. Jumlah pengguna yang terlibat adalah seramai 916,000 orang atau 12 peratus daripada keseluruhan pengguna domestik,” katanya.

Beliau berkata kos keseluruhan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan ini adalah sebanyak RM942 juta menjadikan jumlah keseluruhan diskaun yang diberikan kepada pengguna bagi tempoh 1 April hingga 30 September  depan sebanyak RM2.2 bilion.

Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menghentikan aktiviti pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 September ini bagi pengguna dengan bil elektrik tertunggak.

Ditanya sebab pembaca meter TNB tidak bertugas semasa PKP yang menyebabkan berlaku peningkatan bacaan, Shamsul berkata TNB tidak membenarkan mereka keluar membuat bacaan meter selepas mendapat pandangan pelbagai pihak terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

TNB hanya fokus kepada perkhidmatan penting yang ada bagi memastikan bekalan elektrik tidak terganggu semasa PKP kerana pengguna sentiasa berada di rumah. 

TNB mempunyai sistem untuk mengira bacaan apabila bil terlambat dan tatacara pengiraan adalah teratur yang juga diluluskan ST. 

Related posts

Leave a Comment