Tiada kemenangan percuma

ATAS nama demokrasi, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tidak dapat dielakkan. Tiada kemenangan percuma walaupun PKR tidak meletakkan calonnya seperti Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Barisan Nasional (BN) akan berhadapan dengan dua calon Bebas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula terpaksa mengerahkan jenteranya menghadapi PRK itu.

PRK itu melibatkan pertandingan antara Mohd Sharim Md Zain, 41, yang mewakili BN, dan ahli perniagaan Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan aktivis masyarakat Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Pengumuman senarai calon yang bertanding dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya, Zaliza Zulkipli kira-kira 10.30 pagi, selepas proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan ditutup pukul 10 pagi. 

Tengku Zainul Hisham yang menggunakan simbol rumah mengemukakan borang pencalonan tepat pukul 9 pagi diikuti Mohd Sharim, generasi kedua Felda Chini, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, pada 9.01 pagi bagi mempertahankan kerusi DUN BN itu. 

Pencalonan Mohd Sharim disokong Timbalan Yang Dipertua Pas Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang juga calon Pas yang tewas bertanding di kerusi itu kepada calon BN pada PRU-14. 

Mohd Shukri, yang juga seorang penulis blog, menggunakan simbol kunci dan mengemukakan borang pencalonan pada pukul 9.04 pagi. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan 30 Jun sebagai tarikh pengundian awal. 

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan Mohd Fadhil Noor (Pas) yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. 

Related posts

Leave a Comment