Fasa kedua pembukaan semula

HARI ini, Singapura membuka lembaran baharu selepas 73 hari penduduk menjalani tempoh pemutus litar, satu usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang bermula pada 7 April lalu.

Mulai hari ini, fasa kedua pembukaan semula membolehkan pelbagai urusan kerja dan aktiviti sosial dilaksanakan.

Fasa pertama pada 2 Jun lalu, antara lain menyaksikan pembukaan semula  sekolah, kedai atau perkhidmatan  yang risiko kadar jangkitan yang rendah.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyifatkan keupayaan menguji virus Covid-19 akan dipertingkatkan ketika Singapura memulakan fasa kedua.

Beliau meminta semua orang memainkan peranan dengan menjaga jarak selamat bagi memenangi ‘perang’ ini.

“Untuk memenangi perang ini, kita memerlukan semua orang untuk terus memainkan peranan mereka untuk mengamalkan jarak selamat serta menjaga kebersihan peribadi yang baik. Mari kita membuat peralihan yang selamat dan stabil ke Fasa Kedua,” katanya dalam satu catatan dalam Facebook semasa ‘bertemu’ dalam talian dengan pasukan yang mengendalikan ujian Covid-19 kelmarin .

Lee berkata, ujian swab Covid-19 merupakan bahagian yang penting daripada strategi Singapura untuk mengawal penularan virus.

“Operasi yang besar dan rumit ini bergantung kepada ramai individu yang menjalankan tugasnya. Bukan hanya melakukan swab itu, tetapi berada di barisan depan, mengambil semua langkah berjaga-jaga dan melakukan prosedur dengan betul,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertugas untuk memastikan ujian ini dapat dilakukan.

Mulai hari ini, perniagaan boleh membuka semula kedai mereka dan orang ramai boleh makan di restoran dan pusat makanan dengan setiap meja dihadkan kepada lima orang.

Perhimpunan sosial sehingga lima orang dibenarkan, manakala di rumah, setiap isi keluarga boleh menerima sehingga lima tetamu.

Kedai runcit, taman, kemudahan sukan dan awam lain, termasuk stadium, kolam renang, padang golf, taman permainan, pusat bowling dan studio kecergasan juga akan dibuka semula.

Perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan peribadi, dan perkhidmat di rumah, seperti kelas tuisyen privet, kelas tambahan atau kelas piano, dibenarkan, kecuali kelas nyanyian atau latihan suara.

Pemerintah juga menetapkan peraturan memakai pelitup hidung dan mulut apabila berada di luar, termasuk di sekolah.

Related posts

Leave a Comment