Sabah ‘mula solat’ Jumaat

SOLAT Jumaat dan solat fardu secara berjemaah serta aktiviti masjid dan surau di Sabah boleh dilaksanakan mulai Jumaat ini (19 Jun), kata Mufti Sabah, Bungsu Aziz Jaafar.

Kebenaran itu adalah berdasarkan kapasiti sebenar keluasan masjid atau surau serta kemampuan ahli jawatankuasanya, dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard menetapkan jarak satu meter antara jemaah.

Beliau berkata, jemaah bergejala seperti demam, batuk, selsema, sesak nafas dan sakit tekak termasuk yang menghidap penyakit kronik, kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing tidak dibenarkan hadir.

Setiap jemaah hendaklah membuat pengesanan suhu badan, memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan serta merekodkan kehadiran di dalam buku disediakan.

Selain mengamalkan penjarakan sosial termasuk semasa solat, para jemaah juga diingatkan untuk mengelak bersalaman.

Bungsu berkata, ruangan terhad dibuka di luar masjid atau surau yang dibenarkan pihak berwajib bagi memudahkan golongan musafir dan mereka yang ingin singgah untuk menunaikan solat .

Aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang dibenarkan di masjid dan surau merangkumi majlis ilmu, kuliah Maghrib dan Subuh selain majlis akad nikah dengan mematuhi garis panduan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Ibadah korban turut dibenar dilaksanakan di pekarangan masjid atau surau namun perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Pengurusan jenazah dibenar dilaksanakan di masjid atau surau dengan mematuhi garis panduan pihak berwajib.

Related posts

Leave a Comment