Risiko bagi yang berpenyakit

PARIS: Sekumpulan pakar London School of Hygiene and Tropical Medicine menganggarkan 1.7 bilion orang – lebih 20 peratus penduduk dunia – berisiko dijangkiti Covid-19 disebabkan masalah kesihatan seperti penyakit jantung.

Mereka menganalisis kumpulan data global termasuk diabetes, penyakit paru-paru dan HIV, dan menggunakannya untuk menganggarkan berapa ramai orang yang berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang serius.

Analisis itu mendapati satu daripada setiap lima orang mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan kronik justeru berada dalam keadaan bahaya yang lebih besar.

Walaupun bukan semua mereka akan mengalami gejala teruk jika dijangkiti, penyelidik mengatakan sekitar 4 peratus penduduk dunia atau sekitar 350 juta kemungkinan boleh menderita dan memerlukan rawatan di hospital.

“Sedang negara membuka semula ekonomi dan sosial negara masing-masing, pemerintah sedang mencari cara melindungi golongan paling rentan daripada virus yang masih menular itu,” kata Andrew Clark yang turut menyumbang kepada analisis itu.

Ini mungkin melibatkan mereka yang berpenyakit kronik mengambil langkah jarak sosial yang sesuai dengan tahap risiko mereka.

Clark berkata dapatan itu dapat membantu pemerintah memutuskan mengenai siapa yang harus menerima vaksin Covid-19 terlebih dahulu apabila vaksin dihasilkan.

Sejajar dengan kajian lain mengenai risiko Covid-19, penulis kajian itu mendapati mereka yang lebih tua berada dalam bahaya lebih besar jika dijangkiti virus itu.

Kurang daripada 5 peratus mereka yang berumur di bawah 20 tahun mempunyai faktor risiko penyakit kronik, berbanding dengan dua pertiga mereka yang berusia lebih 70-an tahun.

Related posts

Leave a Comment