Terus waspada Covid-19

GENEVA : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta semua negara supaya terus berwaspada dengan penularan wabak Covid-19 kerana risiko penularan belum berakhir walaupun di negara yang sudah berjaya mengekang virus itu.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengingatkan demikian ketika penularan semula berlaku di China.

“Semua negara perlu kekal berwaspada dengan kemungkinan penularan semula. Minggu lepas China melaporkan kluster kes baharu di Beijing selepas 50 hari tanpa kes, “ katanya dalam sidang media di Geneva pada Isnin.

Setakat ini China mengesahkan lebih 100 kes baharu dan sehingga kini punca penularan masih disiasat.

Sebelum ini China mengesahkan tiada penularan kes selama 50 hari. Wilayah Hubei di negara itu adalah pusat penularan Covid-19.

Sementara itu Tedros berkata, lebih 7.8 juta kes telah dilaporkan kepada WHO dengan lebih 430,000 kematian.

Katanya, lebih dua bulan diperlukan untuk merekodkan 100,000 kes pertama tetapi bagi tempoh dua minggu terakhir ini, lebih 100,000 kes baharu direkodkan, hampir setiap hari.

Katanya, hampir 75 peratus kes datang dari 10 negara kebanyakan dari negara-negara Amerika dan Asia Selatan.

Bagaimanapun peningkatan kes juga berlaku di negara-negara Afrika, Eropah Timur, Asia Tengah dan Timur Tengah.

Tedros pada masa yang sama turut mengingatkan supaya ketika tumpuan diberi terhadap Covid-19, dunia tidak boleh mengabaikan influenza yang melanda dunia setiap tahun dan menyebabkan kematian.

“Kita harus memastikan influenza tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment