Warisan, UPKO masih kukuh

PARTI Warisan Sabah (Warisan) menyifatkan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meninggalkan parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas adalah untuk kepentingan diri dan bukannya rakyat.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Dr Yusof Yacob berkata, tindakan itu bukan untuk rakyat tetapi dipercayai menerima tekanan dan perlu terus bersama Kerajaan Persekutuan hingga mereka berpaling tadah serta menyokong PN.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Kerajaan Sabah mengambil maklum mengenai pengumuman keluar parti ADUN Kuala Penyu, Limus Jury dan ADUN Sugut, James Ratib.

Dr Yusof yang juga Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah menambah, semasa Pilihan Raya Umum 2018, Limus dan James bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) tetapi disebabkan kekalahan BN, mereka meninggalkan parti lama kerana mahu menyokong Warisan yang bekerjasama dengan PH.

Beliau mendedahkan, Limus mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat, Perwira Progresif Sdn Bhd yang mendapat kontrak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah berjumlah RM385 juta manakala James merupakan antara kontraktor yang mendapat manfaat daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Sementara itu, Dr Yusof menegaskan Kerajaan Sabah masih kukuh dengan jumlah 45 kerusi DUN serta tindakan Limus dan James tidak akan menggugat kestabilan politik Sabah, malah agenda pembangunan negeri akan diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

“Semua wakil rakyat Kerajaan Sabah juga telah menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri untuk terus mentadbir negeri dan menuntut hak-hak Sabah daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) masih kukuh dalam kerajaan Sabah biarpun wakil rakyatnya keluar daripada parti.

Presidennya merangkap Timbalan Ketua Menteri, Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO akan terus memainkan peranan yang penting sebagai rakan kongsi dalam kerajaan Sabah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pucuk pimpinan parti menghormati keputusan mereka untuk meninggalkan UPKO seperti yang mereka umumkan dan setelah menghubungi beberapa pemimpin di lapangan, UPKO tidak terjejas.

Related posts

Leave a Comment