Masjid, surau WP dibuka

PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju membenarkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibuka semula kecuali yang berada di kawasan zon merah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, pembukaan rumah ibadat itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk bilangan jemaah adalah satu pertiga daripada kapasiti bangunan.

Memandangkan kadar pematuhan SOP yang tinggi, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah memberi kebenaran beroperasi kepada semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan di zon merah.

“Masjid dan surau di negeri-negeri lain tertakluk keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya dalam sidang media harian..

Kerajaan juga bersetuju membenarkan pembukaan semula semua rumah ibadat bukan Islam seluruh negara dengan SOP yang ditetapkan.

Ismail Sabri berkata, operasi rumah ibadat berkenaan bagaimanapun masih tertakluk di bawah kebenaran kerajaan negeri masing-masing.

Bagi rumah ibadat bukan Islam, Kementerian Perpaduan Negara telah berbincang dengan 16 badan dan persatuan agama dan membuat permohonan bagi rumah ibadat bukan Islam untuk beroperasi.

“Mesyuarat Khas hari ini bersetuju untuk memberi kebenaran untuk 5,230 rumah ibadat beroperasi di seluruh negara. Rumah ibadat ini boleh beroperasi pada hari dan masa seperti biasa dengan kehadiran 1/3 daripada keluasan rumah ibadat.

“Kebenaran dan permulaan operasi tertakluk kepada kebenaran kerajaan negeri dan SOP yang ditetapkan, termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera atau memberi maklumat secara manual,” katanya.

Related posts

Leave a Comment