Dua ADUN tinggalkan UPKO

EPISOD keluar parti berterusan. Kali ini di Sabah apabila dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) UPKO meninggalkan parti itu dan menjadi wakil Bebas serta menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Dua ADUN itu, James Ratib (Sugut) dan Limus Juri (Kuala Penyu) mengambil tindakan itu seterusnya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Lebih menarik, James Ratib berkata, lebih ramai akan keluar mengikut jejak langkahnya dalam tempoh sehari dua ini.

Sebelum ini, Limus merupakan Naib Presiden UPKO dan Ketua UPKO Bahagian Beaufort manakala James selaku Ahli Majlis Tertinggi UPKO.

Tengah hari tadi di kediaman Limus, Jalan Lintas, Penampang, James bersama rakannya itu mengumumkan keluar parti dalam satu sidang media bersama.

“Saya yakin dalam masa satu atau dua tiga hari ini, akan lebih ramai akan menyusul. Kami bersama YB Limus, daripada parti UPKO yang memulakan gendang dipalu,” kata James.

Dalam sidang media itu, James dan Limus turut mendedahkan antara alasan mereka bertindak demikian adalah disebabkan tidak sehaluan dengan kerajaan negeri serta demi pembangunan kawasan mereka.

Bahkan, James  memaklumkan kesediaan mereka untuk menerima semula kepimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, sebagai peneraju kerajaan negeri ini semula.

“Ya, kalau Tan Sri Musa mendapat sokongan, daripada kalangan semua YB (Yang Berhormat) , why not? kita kena follow, sebab kita mahu kerajaan yang memerintah, kita tidak mahu pembangkang sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, Limus  berterima kasih terhadap pucuk pimpinan UPKO dan kerajaan negeri di bawah Parti Warisan Sabah (Warisan) yang memberi peluang kepadanya memberikan perkhidmatan selaku wakil rakyat di Kuala Penyu sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment