Indonesia catat 1,111 kes

INDONESIA merekodkan 1,111 kes baharu dan 48 kematian dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kes terkumpul 36,406 dan kematian 2,048.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 13,923 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Bagi tempoh itu juga, Jawa Timur mencatatkan 318 kes positif baharu dan 22 lagi kematian menjadikan 575 kematian.

SINGAPURA setakat tengah hari 12 Jun melaporkan 463 lagi kes jangkitan menjadikan jumlah keseluruhan 39,850 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan, terdapat 18 kes dalam komuniti melibatkan lapan warga Singapura atau penduduk tetap manakala 10 lagi pemegang permit kerja.

Secara keseluruhannya, 27,286 kes atau kira-kira 70 peratus daripada 39,387 kes keseluruhan setakat semalam dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti komuniti.

Sehingga Khamis, terdapat 227 kes positif yang masih dirawat dengan dua berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

THAILAND mencatatkan empat kes baharu, semuanya warga Thai yang kembali dari India, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlahnya sebanyak 3,129 kes dengan 58 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi  Covid-19 (CCSA)  Thaweesilp Wissanuyothin berkata, empat pesakit yang mengalami gejala sedang menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti negara. Terdapat 192 warga Thai yang kembali dari luar negara diuji positif Covid-19. Setakat ini, sebanyak 2,987 kes telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala 84 masih dirawat.

FILIPINA setakat pukul 4 petang ini, 12 Jun, melaporkan jumlah kes Covid-19 meningkat kepada 24,787, selepas pertambahan 615 kes iaitu 336 kes terkini dan , 279 kes lewat.

Kes baru hari ini adalah berdasarkan laporan pencapaian harian yang diserahkan oleh 45 daripada 54 makmal operasi semasa.

Jabatan Kesihatan juga mengumumkan sebanyak 16 kematian dilaporkan menjadikan 1,052 kes sementara 289 lagi kes pulih yang membawa kepada 5,454 pesakit sembuh.

Related posts

Leave a Comment