Jauhi rasuah, lebih berhemah

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menggesa pegawai dan kakitangan penguatkuasaan di negeri itu menjauhi gejala rasuah serta menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan adil serta berhemah dengan mematuhi segala SOP dan peraturan yang ditetapkan.

Titah baginda, semua pihak yang terlibat dengan tugas penguatkuasaan di mana-mana jabatan perlu mengelak sama sekali perbuatan yang boleh dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan.

Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan media bagi menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan penguatkuasaan kerajaan khususnya di Negeri Selangor.

Titah baginda, tindakan segelintir mereka yang terlibat di dalam jenayah tidak bermoral ini mencemarkan reputasi dan imej Kerajaan dan pihak berkuasa.

“Laporan media yang meluas tentang kesalahan jenayah rasuah yang dilakukan ini menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan,” titah baginda.

Baginda mengingatkan, jika gejala rasuah ini terus berleluasa ianya akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan penguat kuasa dalam melaksanakan tindakan undang-undang di Negara ini.

Justeru itu, Baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan penguat kuasa di semua Majlis-majlis Kerajaan Tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua Jabatan Kerajaan lain yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang supaya menjauhi gejala rasuah.

Baginda mahu mereka tidak sama-sekali melibatkan diri mahupun mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah dan perkara-perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak.

Titah baginda, Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang  diamanahkan dengan jawatan dan kuasa. Jika berlaku rasuah, ia satu perbuatan mengkhianati amanah Negara dan masyarakat.

Di samping menjauhi rasuah, baginda juga menyeru semua pegawai dan kakitangan penguat kuasa in lebih berhemah ketika melakukan penguatkuasaan.

“Mereka perlulah bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan. Sikap berhemah di dalam mengambil sesuatu tindakan perlulah sentiasa diutamakan demi memelihara ketenteraman dan keamanan awam,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment