WHO minta tingkatkan usaha

GENEVA: Selepas lebih enam bulan wabak Covid-19, ini bukan waktunya bagi mana-mana negara mengurangkan usaha sebaliknya ini adalah masa bagi semua negara untuk terus bekerja keras berdasarkan penyatuan, penyelesaian dan solidariti.

Itu kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat media malam tadi (waktu Malaysia).

Katanya, setiap negara perlu terus meningkatkan langkah keselamatan kesihatan bagi mengekang Covid-19 dengan fokus kepada mereka yang mengalaminya bagi mengurangkan kebolehjangkitan walaupun terdapat kes  tidak bergejala.

“Jarang sekali seseorang yang tidak mempunyai gejala menjangkiti orang lain. Jika kita benar-benar mengikuti semua kes bergejala, mengasingkan kes, kesan kontak dan laksanakan kuarantin, kita akan mengurangkannya secara drastik,” katanya.

Beliau juga memberi amaran pandemik Covid-19 masih menjadi satu ancaman besar di seluruh dunia selepas dunia merekodkan 136,000 kes pada Ahad yang merupakan antara rekod harian peningkatan kes baharu tertinggi.

Menurutnya, ketika ini terdapat trend penurunan jangkitan dan kematian di banyak negara, khususnya di Eropah tetapi terdapat trend peningkatan jangkitan dan kematian akibat pandemik itu di bahagian lain di dunia.

Katanya, negara seperti Brazil kini menyaksikan peningkatan kes yang ketara dan dengan lebih 34,000 jumlah kumulatif kematian meletakkan negara itu di kedudukan ketiga tertinggi di dunia di belakang Amerika Syarikat dan Britain.

“Hampir tujuh juta kes kini dilaporkan kepada WHO dan hampir 400,000 maut, walaupun keadaan di Eropah bertambah baik, secara global ia semakin buruk.

Lebih 100,000 kes dilaporkan pada sembilan daripada 10 hari terakhir,” katanya.

Hampir 75 peratus kes dilaporkan Ahad berasal dari 10 negara, kebanyakannya di AS dan Asia Selatan. Sebilangan besar negara di rantau Afrika masih mengalami peningkatan jumlah kes COVID-19, dengan beberapa kes dilaporkan di kawasan geografi baharu.

Beliau mengingatkan semua negara agar tidak alpa serta terus melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang tinggi bagi mengekang penularan virus itu.

Related posts

Leave a Comment