PBB gesa gencatan senjata kekal di Gaza

NEW YORK – Menjelang ulang tahun ketiga konflik antara Hamas dan Israel pada 7 Oktober ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa gencatan senjata kekal di Gaza.

Malahan, beliau turut menggesa usaha politik digerakkan bagi mencapai keamanan berkekalan di seluruh rantau berkenaan.

Katanya , sudah tiba masanya gencatan senjata menjadi kekal, bantuan kemanusiaan disalurkan pada skala besar dan undang-undang antarabangsa dihormati.

“Biarlah tarikh ini (7 Oktober 2023) bukan sekadar menandakan satu lagi tahun berkabung tetapi juga menjadi titik tolak kepada tekad baharu untuk membina masa depan berbeza.

Dalam masa depan itu, rakyat Israel dan Palestin boleh hidup bersama dalam keamanan dan keselamatan, dengan hak, maruah dan aspirasi mereka dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.

Guterres berkata, rakyat Palestin di Gaza berdepan kehilangan nyawa dalam jumlah besar, selain dipindahkan dari kediaman dan kehilangan tempat tinggal akibat kemusnahan yang berlaku.

“Penderitaan mereka juga menuntut supaya ia dihentikan sekarang,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 74,200 orang terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza.

Guterres berkata, gencatan senjata singkat yang diumumkan Presiden Donald Trump, pada Oktober 2025 memberikan sedikit kelegaan namun ia masih belum membawa keselamatan, bantuan kemanusiaan yang mencukupi atau laluan yang diyakini ke arah pemulihan dan keamanan.

Israel yang masih menguasai sebahagian besar Gaza enggan mengundurkan tenteranya sehingga pelucutan senjata Hamas disahkan sedangkan Hamas menyokong pelucutan senjata secara berperingkat, berbanding menyerahkan semua senjata secara serta-merta dan tanpa syarat.

Sejak serangan pada 2023, Israel melancarkan operasi ketenteraan di beberapa kawasan, termasuk menyerang selatan Lubnan bagi menentang Hizbullah.

Israel juga melancarkan serangan terhadap Iran pada akhir Februari bersama AS.

Nnn

Related posts

Leave a Comment