Kes tertinggi di Indonesia

THAILAND melaporkan dua kes baharu Covid-19, melibatkan rakyatnya yang kembali dari luar negara dan tiada kematian baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes  3,121 dengan 58 kematian.

Pembantu Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi bagi Covid-19 (CSSA),  Dr Panprapa Yongtrakul berkata dua kes baharu itu adalah penuntut lelaki berusia 22 tahun yang pulang dari Arab Saudi dan wanita berusia 31 tahun yang kembali dari Belanda.

Thailand merekodkan  tiada jangkitan tempatan selama 15 hari berturut-turut. Sesebuah negara akan dianggap sebagai ‘berisiko’ rendah selepas ketiadaan jangkitan tempatan dua kali ganda dari tempoh inkubasi – 28 hari.

Dr Panprapa berkata daripada 3,121 kes itu, 2,973 pesakit pulih.

SINGAPURA melaporkan 218 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari ini dengan majoriti yang dijangkiti adalah warga asing yang menghuni asrama pekerja sekali gus meningkatkan jumlah kumulatif kepada 38,514 kes.

Daripada 218 kes baharu itu, hanya enam tinggal dalam komuniti tempatan dan kesemuanya adalah pemegang pas pekerja.

Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan, tiada kes baharu yang membabitkan rakyat atau penduduk tetap Singapura.

Setakat Isnin, terdapat 269 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan empat pesakit kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sehingga kini, 25 orang meninggal dunia akibat komplikasi selepas dijangkiti Covid-19 di republik itu.

INDONESIA mencatatkan kes positif Covid-19 baharu tertinggi dalam tempoh 24 jam iaitu sebanyak 1,043 kes, jumlah tertinggi sejak kes pertama virus itu dikesan pada 2 Mac lepas.

Jumlah keseluruhan kes positif di Indonesia kini 33,076 kes, manakala kematian meningkat kepada 1,923 orang, dengan 40 lagi kematian dilaporkan.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto dalam sidang media hariannya berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, seramai 14,108 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jakarta yang mula melonggarkan peraturan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) pada 5 Jun lepas, juga kembali mencatatkan peningkatan kes baharu sebanyak 232 kes, dengan empat kematian, selepas mencatatkan kes baharu di bawah angka 100 dan sifar kematian sejak akhir bulan Mei.

FILIPINA setakat pukul 4 petang 9 Jun merekodkan 22,992 kes termasuk 280 kes terkini dan 238 kes lewat. Kes baharu hari ini adalah berdasarkan laporan pencapaian harian yang diserahkan oleh 38 daripada 46 makmal operasi semasa.

Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) juga memaklumkan enam kes kematian baharu menjadikan jumlah kes 1,017.

Di samping itu, sebanyak 99 kes pemulihan dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh meningkat kepada 4,736.

BRUNEI DARUSSALAM terus kekal dengan rekod lebih sebulan tanpa sebarang kes baharu. Seperti dilaporkan sebelum ini, jumlah kes di negara itu adalah 141 kes dengan dua kematian serta 138 sembuh. Hanya satu kes sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan dalam keadaan kritikal.

Related posts

Leave a Comment