PUTRAJAYA : Usia 18 tahun belum layak mendaftar sebagai pengundi. Itu penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai berita tular di media sosial yang mengajak rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi secara atas talian.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pendaftaran pengundi berumur 18 tahun belum dilaksanakan sebaliknya akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik.
Bagaimanapun perkara itu akan dilakukan selepas segala persiapan SPR diselesaikan termasuk penyediaan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan.
“Selain itu, (persiapan lain adalah) penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur.
Kesemua persiapan ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Julai tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan.
SPR menyeru kepada orang ramai untuk merujuk terlebih dahulu kepada SPR melalui laman web rasmi SPR di www.spr.gov.my atau akaun sosial media rasmi SPR seperti di Facebook atau menghubungi di talian 03-88927200 bagi mengelakkan penularan berita palsu.