PERDANA Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.
Banyak kelonggaran yang akan diberi di bawah PKPP ini termasuk rentas negeri dan melancong di dalam negara.
Ibadah korban juga dibenarkan.
Bagaimanapun kebenaran solat jemaah dan Jumaat untuk lebih ramai jemaah akan diumumkan sedikit masa lagi.
Untuk rekod, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac secara berperingjat sehinggalah PKPB bermula 4 Mei dan berakhir 9 Jun.
INTIPATI PERUTUSAN PM
MULAI 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD. Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian. Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung. Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan.
DALAM tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP. Sepertimana yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan, perkhidmatan gunting rambut dan salun akan dibenarkan. Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga akan dibenarkan.
AKTIVITI komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan. Termasuk dalam senarai ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem. Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.
BEBERAPA jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP. Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain. Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan. Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.
AKTIVITI pelancongan domestik akan dibenarkan. Jadi bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir tiga bulan tidak ke mana-mana. Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup.
SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam. Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi dan akan diumumkan sedikit masa lagi.
SEKOLAH akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan. Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi.
Beberapa aktiviti atau sektor masih dillarang termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti lain yang melibatkan kehadiran orang ramai yang bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan kepada SOP