KHABAR berita yang ditunggu. Mulai 10 Jun ini, operasi kedai gunting rambut dan dandan rambut akan beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berjumlah RM13.5 bilion setahun, selain melibatkan 74,500 tenaga kerja daripada 16,728 perniagaan yang berdaftar.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti
yang dibenarkan termasuk gunting rambut asas, cuci rambut asas, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan rambut, manicure dan pedicure serta cuci dan rawatan muka.
“Bagi golongan yang berisiko iaitu individu yang berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan adalah diwajibkan secara temu janji tanpa kehadiran pengunjung daripada kumpulan umur lain.
“Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, ibu bapa dibenarkan hadir bersama tetapi perlu mematuhi pemakaian alat pelindung diri seperti pelitup muka dan apron pakai buang,” katanya dalam sidang media harian hari ini, 6 Jun.
Pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi. SOP juga memerlukan pekerja memakai pelindung muka, apron pakai buang selain sarung tangan yang berbeza bagi setiap pelanggan.
Katanya, pengusaha juga perlu memastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan.
Sementara itu operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan dibuka semula bermula 15 Jun ini. Kebenaran tersebut bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
SOP ini termasuk waktu pembukaan yang dihadkan bagi pasar pagi dan pasar terbuka antara pukul 6 hingga 11 pagi; pasar malam (4 petang- 10 malam) dan bazaria (5 petang -11 malam). Pasar-pasar tersebut hanya dibenarkan menjual secara bawa pulang sahaja.
“Jarak sosial kedudukan gerai ditetapkan pada 1.5 hingga dua meter dan lokasi kawasan penganjuran perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala,” katanya.
Selain itu, peniaga juga perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE), sarung tangan serta pelitup muka.
“Tindakan penutupan serta merta akan dilakukan sekiranya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan. Peniaga dan pengunjung diwajibkan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera,” ujarnya.