Khalil banyak bantu negeri

YANG Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menyifatkan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa turun padang, serta  merupakan penasihat yang bersama-sama pentadbiran kerajaan negeri, berusaha membangunkan Melaka sebagai negeri pelancongan peringkat antarabangsa.

Beliau berkata khidmat bakti serta idea Mohd Khalil selama 16 tahun sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka amat berharga dan menyumbang kepada kepesatan pembangunan serta kemajuan negeri juga seluruh rakyat Melaka.

“Semenjak Tun (Mohd Khalil) memegang jawatan sebagai yang Dipertua Negeri Melaka banyak pencapaian dan kejayaan telah diraih sama ada dalam negeri, negara mahupun di peringkat antarabangsa yang sudah pastinya memberikan kesan mendalam dan impak besar kepada pembangunan Melaka,” katanya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Mohd Khalil ketika berucap pada majlis serah tugas Yang Dipertua Negeri Melaka di pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Ayer Keroh yang turut dihadiri Mohd Khalil. Hadir sama Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mohd Ali berkata sepanjang pengalamannya menjadi Ketua Menteri Melaka Kesembilan, Mohd Khalil amat banyak membantu dalam usaha kerajaan negeri, antaranya untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Bandaraya Warisan Dunia pada Julai 2008 daripada UNESCO.

“Tun juga mahir dalam pelbagai bahasa, antaranya bahasa Perancis yang mana ini amat memudahkan apabila Tun bersama-sama kita melaksana tugas di luar negara. Saya dan orang Melaka lain terutama anak muda perlu contohi Tun kuasai pelbagai bahasa,” katanya.

Beliau berkata Mohd Khalil juga dikenali sebagai seorang yang versatile mempunyai pelbagai kebolehan selain seorang berjiwa seni dan mempunyai minat sangat mendalam terhadap seni lukis malah telah menghasilkan lebih 100 catan lukisan.

Sementara itu Mohd Khalil dalam ucapannya di majlis sama berkata, beliau senang berada di Melaka kerana ramai yang melakukan yang terbaik untuk membangunkan Melaka dan berharap pentadbiran semasa akan meneruskan kecemerlangan mereka.

“Satu nasihat yang saya dapat berikan adalah jangan terlalu serius, perlu ada unsur humor, dan nikmati hidup ini sebaiknya, jika tidak hidup akan jadi amat membosankan. Saya sentiasa akan mengingati semua petugas saya, kerana tanpa mereka, saya tidak akan mampu bergerak (sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka),” katanya.

Related posts

Leave a Comment