Brunei, Vietnam sifar kes

THAILAND melaporkan satu kes baharu Covid-19, melibatkan seorang lelaki Thai yang baru pulang dari Kuwait, menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini sebanyak 3,102 dengan 58 kematian. Tiada kematian baharu dilaporkan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19  Thaweesilp Wissanuyothin berkata lelaki berusia  45 tahun tersebut kembali ke Thailand pada 24 Mei dan menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti kerajaan. Dia disahkan positif menerusi ujian kali kedua.

Setakat ini, seramai 165 warga Thai di pusat kuarantin kerajaan telah disahkan positif Covid-19, dan daripada jumlah itu, 31 merupakan mereka yang pulang dari Kuwait, iaitu paling ramai dalam kes jangkitan yang dikesan ketika kuarantin.

Setakat ini juga, seramai 2,971 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital manakala 73 lagi masih dirawat.

INDONESIA merekodkan 703 kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif terkini sebanyak  29,521 kes.

Republik itu juga mencatatkan 49 lagi kematian dalam tempoh sama menjadikan jumlah keseluruhan kematian 1,770 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata seramai 13,592 pesakit masih dalam pemantauan.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 524 kes, diikuti Jawa Timur (446 kes), Jawa Barat (158) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

VIETNAM masih mengekalkan rekod sifar kes jangkitan tempatan untuk tempoh 50 hari berturut-turut.

Setakat 5 Jun keseluruhan kes kekal sebanyak 328 dan daripada jumlah itu 188 adalah kes import dan yang dikuarantin sebaik tiba di negara ini.

Menurut Jawatankuasa Pemandu untuk Pencegahan dan Kawalan Covid-19. pada masa ini, 8,143 orang yang mempunyai kontak dengan pesakit atau mengunjungi daerah terjejas wabak, dikuarantin di hospital, pusat khas dan rumah.

Seramai 302 pesakit sudah disahkan sembuh manakala 26 lagi masih dirawat.

BRUNEI DARUSSALAM melaporkan tiada kes baharu jangkitan Covid-19, hari ke 29 berturut-turut sejak 8 Mei lalu. Jumlah kes kekal 141.

Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md. Isham Jaafar dalam sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 berjata, hanya satu kes masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

“Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO) dan mesin pernafasan. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan kesembuhan sepenuhnya kepada beliau. Aamiin Aamiin Ya Rabbal Alamin,” katanya..

 Daripada 141 kes, dua melibatkan kematian sementara 138 kes telah sembuh.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu juga, sebanyak 414 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 20,619 ujian.

 FILIPINA setakat pukul 4 petang 5 Jun 2020, merekodkan 244 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 20,626.kes.

Jabatan Kesihatan melaporkan, jumlah itu melibatkan 168 kes ‘segar’ manakala 76 sebagai kes lewat yang dilaporkan hari ini. Kes baru hari ini berdasarkan laporan pencapaian harian yang diserahkan oleh 39 daripada 42 makmal operasi semasa.

Pada masa yang sama, tiga kematian direkodkan menjadikan jumlah kes 987 sementara 82 kes lagi sembuh yang membawa kepada jumlah pemulihan sebanyak 4,330.

SINGAPURA merekodkan 261 kes jangkitan Covid-19 bagi tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari ini yang melibatkan 11 kes dalam masyarakat. Jumlah keseluruhan kes adalah 37,183

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan sebahagian besar kes melibatkan pemegang Permit Kerja yang menginap di asrama pekerja.

Menurut MOH, terdapat 11 kes dalam masyarakat, enam melibatkan warga Singapura atau Penduduk Tetap. Lima daripadanya adalah pemegang Pas Kerja.

Jumlah kes yang rendah kali ini disebabkan jumlah ujian swab yang lebih rendah dilakukan. 

Dalam kalangan 11 kes, enam dikaitkan kepada kes-kes yang telah disahkan sebelum ini, dan telah diletakkan dalam kuarantin. Satu kes dikaitkan dengan kelompok dormitori.

Related posts

Leave a Comment