Sekatan di Jeddah mulai 6 Jun

KEMENTERIAN Kesihatan Arab Saudi pada Jumaat melaporkan 2,591 kes baharu Covid-19 dengan 31 kematian, menjadikan jumlah terkumpul 95,748 kes dan 642 kematian.

Pada masa yang sama jumlah kes sembuh pula meningkat kepada 70,616 kes apabila 1,651 lagi pesakit pulih dalam tempoh 24 jam lalu.

Kes tertinggi dilaporkan di Riyadh dengan 719 kes diikuti Jeddah 459, Makkah 254, Madinah 129 dan Hufof 102.

Sementara itu Kementerian Dalam Negeri mengumumkan beberapa sekatan sementara bagi membendung penularan wabak di Jeddah mulai esok (6 Jun) hingga 20 Jun.

Menurut agensi berita Saudi, langkah itu diambil setelah Kementerian Kesihatan menyedari terdapat lonjakan kes di kota itu.

Sekatan termasuk mengehadkan pergerakan di semua kawasan di bandar mulai pukul 3 petang hingga 6 pagi, menghentikan kehadiran pekerja sektor awam dan swasta serta larangan makan di restoran dan kafe.

Perhimpunan lebih lima orang juga dilarang dan solat di masjid ditangguhkan sementara pergerakan domestik melalui udara dan darat masih dibenarkan.

Kementerian  juga akan memantau jumlah kes Covid-19 di Riyadh sebelum mengambil langkah tertentu.

Related posts

Leave a Comment