144 ingkar PKPB dikompaun

PUTRAJAYA: Gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dua tapak binaan diarah tutup semalam dan baki 81 tapak binaan tidak beroperasi.

Dalam pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)

semalam, 53 peratus daripada 191 tapak binaan mematuhi SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, 101 tapak binaan mematuhi SOP manakala tujuh tidak patuh SOP dan diberi amaran.

Setakat hari ini, jumlah kumulatif tapak binaan yang telah diperiksa oleh CIDB adalah 6,750 dan daripada jumlah itu, 1,312 tapak binaan didapati mematuhi SOP dan 295 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

Jelasnya, penguat kuasa CIDB telah mengarahkan sejumlah 12 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP dan 5,131 tapak binaan belum beroperasi.

Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri juga memberitahu, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 67 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan daripada jumlah itu, seramai 66 orang direman manakala seorang dibebaskan dengan jaminan polis. 

PDRM turut mengeluarkan kompaun  kepada 144 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB manakala tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

“Justeru, semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan sebanyak 37 kenderaan diarah patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran.

Antara negeri yang mencatat cubaan rentas negeri yang tertinggi ialah Melaka (16), Negeri Sembilan (sembilan) dan Pahang (lapan).

Related posts

Leave a Comment