DUN Sarawak berfungsi seperti biasa

KUALA LUMPUR 25 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan Kerajaan Negeri Sarawak agar berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Perkara berkenaan dimaklumkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak menerusi satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu menyusul selepas Ketua Menteri Sarawak,  Abang Johari Tun Openg menghadap Al-Sultan Abdullah secara maya berhubung tempoh DUN dan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, hari ini.

“Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, YAB Ketua Menteri telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud setelah menerima nasihat daripada pihak Peguam Negara, SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 susulan Pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021.

Tempoh DUN Sarawak akan berakhir pada Jun ini selepas Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) diadakan pada 7 Mei 2016.

Related posts

Leave a Comment