Solat Jumaat minggu kedua

MASJID, surau dan balai ibadat di seluruh Brunei Darussalam akan dibuka lebih awal, Jumaat, 5 Jun ini iaitu pukul 11.30 pagi dan akan ditutup sebaik sahaja khutbah selesai dibacakan juga sebelum bilal melaungkan Iqamat bagi imam dan jemaah memulakan Sembahyang Fardu Jumaat.

 Selain itu, lebih banyak pintu pagar masuk ke kawasan dan pintu masjid, surau dan balai ibadat akan dibuka mengikut kesesuaian bagi keselesaan dan kelancaran jemaah masuk dengan menambah bilangan petugas untuk mengimbas Kod QR dan memeriksa suhu badan.

 Menteri Hal Ehwal Ugama, Awang Badaruddin Awang Othman memaklumkan perkara tersebut pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

 Langkah-langkah itu merupakan antara usaha bagi memudahkan urusan juga pengendalian pelaksanaan Sembahyang Fardu Jumaat termasuk mengaturkan tatacara pelaksanaan yang berhemat untuk sembahyang lima waktu pada tahapnya, sebelum masjid, surau dan balai ibadat kembali dalam keadaan normal.

 Para jemaah dinasihatkan supaya beratur menurut penjarakan fizikal dan membersihkan tangan dengan sanitizer sebelum masuk ke ruang sembahyang.

 Katanya kehadiran untuk menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat adalah dengan tapisan tahap kesihatan seseorang menerusi aplikasi BruHealth yang dilakukan setiap hari mulai Isnin menjelang Jumaat.

 “Individu yang diberikan kod warna hijau boleh menempah masjid yang tersenarai dalam aplikasi tersebut.

 “Oleh itu, perlulah seseorang, termasuk warga asing yang beragama Islam dan warganegara yang berhajat bagi menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat untuk mendaftar dengan aplikasi BruHealth bagi mengetahui tahap kesihatan yang melayakkannya hadir ke masjid, surau dan balai ibadat sebagai jemaah,” katanya.

 Sekiranya tahap kesihatan mereka didapati tidak mengizinkan, iaitu dengan tanda kod selain daripada warna hijau, maka mereka tidaklah perlu hadir bagi menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat secara berjemaah kerana mempunyai alasan uzur syarie yang melepaskan mereka dari kewajipan solat Fardu Jumaat.

Masjid dibuka untuk solat Jumaat mulai 29 Mei lalu. Untuk rekod, Brunei Darussalam merekodkan 141 kes positif Covid-19 dengan dua kematian, 138 sembuh dan seorang masih kritikal.

Related posts

Leave a Comment