66 % alami sindrom Post Covid

PUTRAJAYA 11 Jun – Sebanyak 66 peratus daripada pesakit Covid-19 dari kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan mengalami sindrom Post Covid, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit Covid-19 adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.

Jelasnya, dapatan itu diperoleh dalam kajian klinikal melibatkan 1,004 pesakit.

Sehingga kini, rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat.

Rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum.

“Kajian klinikal akan terus dijalankan bagi memahami dan mengenal pasti kesan Sindrom Post Covid dan ianya akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa. Oleh itu, pesakit-pesakit Covid-19 yang didiscaj dari hospital akan diberikan temu janji rawatan susulan dan mereka diingatkan untuk hadir mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi bekas pesakit Covid-19 yang masih mempunyai gejala, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

Langkah ini penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit Covid-19 pada tahap terbaik dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka panjang.

Sindrom itu merupakan suatu keadaan dimana bekas pesakit Covid-19 masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan gejala-gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.

Keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu.

Related posts

Leave a Comment