Susun semula ‘hidup 24 jam’ selepas PKP

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan tamat pada 9 Jun ini. Itu ketetapannya. Persoalannya sama ada akan disambung seperti tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.  Untuk rekod, PKP bermula sejak 18 Mac dan sekarang memasuki fasa ke lima yang dikenali PKPB.

Sekiranya PKPB berakhir atau ‘lebih longgar’, apa yang akan anda lakukan? Mungkin mahu ke masjid, ke kedai gunting rambut, menonton wayang, merentas negeri balik kampung atau apa sahaja yang sudah lama terpendam.

Sama ada PKPB disambung atau tidak, ia tidak bermakna kita bebas segalanya. Pergerakan masih perlu dikawal. Dalam hal ini, mungkin kerajaan sudah bersedia untuk ‘melayani’ karenah atau tabiat rakyat Malaysia supaya dalam apa juga keputusan, langkah-langkah pencegahan masih perlu diberi keutamaan.

Jika PKPB ditamatkan, timbul kebimbangan kerana 10 Jun masih dalam bulan Syawal. Mungkin sudah ada yang berkira-kira mahu mengadakan rumah terbuka, jamuan dan sebagainya. Maklumlah lumrah orang kita raya sebulan, malahan lebih daripada itu. Pada 10 Jun, Syawal berbaki 10 hari lagi.

Masih banyak risikonya, jika PKPB ditamatkan,  kecuali rakyat faham mereka tidak boleh meneruskan kehidupan seperti sebelum Mac 2020. Kelonggaran perlu bersyarat, tidak longgar semua perkara. Kita tahu sikap dan tabiat rakyat. Masih ada yang degil dan ambil mudah peraturan atau undang-undang.

Rakyat seharusnya sudah bersedia mengikuti dan mematuhi norma baharu kehidupan. Bukan menganggap pengakhiran PKPB sebagai satu kebebasan seterusnya mengabaikan norma baharu kehidupan. Jangan sia-siakan pengorbanan ‘duduk di rumah’ selama ini. Kita perlu lebih bersedia.

Bersediakah rakyat Malaysia mengharungi norma baharu kehidupan? Bersediakah mereka melindungi diri sendiri tanpa perlu diperingatkan pihak lain, misalnya oleh pemilik restoran, pusat membeli belah atau di mana sahaja mereka pergi yang melibatkan orang ramai?

Hakikatnya, selepas hampir tiga bulan mengharungi PKP dan PKPB, banyak yang sudah dipelajari dan diamalkan. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan telah kita lakukan. Ia bukan sahaja melibatkan soal rumah, pejabat tetapi juga gaya hidup.

Sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil dilakukan sebenarnya boleh dilakukan sama ada kerana ‘terpaksa’ patuh peraturan atau ‘dipaksa’ mengikut arahan.

Sepanjang PKP ini, kita dididik untuk duduk di rumah, keluar jika perlu. Tidak ada masa untuk lepak minum teh tarik, berkeliaran di pusat beli-belah dan pelbagai aktiviti lain dari pagi hingga ke malam yang mungkin membuang masa yang amat berharga. Dalam erti kata lain PKP mengajar kita untuk lebih berdisiplin dalam pelbagai perkara termasuk pengurusan masa.

Sewajarnya ‘pengalaman’ semasa PKP  ‘diamalkan’ secara berterusan bagi menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan Covid-19. Mungkin inilah masa untuk pihak berkuasa ‘menyusun semula kehidupan’ rakyat supaya  lebih menghargai masa, keluarga tanpa menjejaskan kedudukan ekonomi.

Kita perlu melakukan ini bagi mengelakkan penularan wabak kerana pakar-pakar kesihatan memberi pelbagai amaran bahawa wabak ini tidak mudah berakhir. Lebih membimbangkan apabila ada yang mengatakan wabak ini tidak akan hilang selama sedekad kecuali melakukan pemvaksinan. Vaksin pula hanya terhasil 2021 dan pelbagai lagi kemungkinan.

Dalam erti kata lain, perjalanan masih jauh. Usaha memerangi virus ini bukannya seperti acara larian pecut 100 atau 4 x 100 meter tetapi maraton yang perlukan masa yang lama untuk ke garisan penamat.

Adalah amat penting norma baharu kehidupan diterapkan kepada setiap lapisan masyarakat sama ada orang dewasa termasuk warga emas, remaja dan kanak-kanak. Ingat virus Covid-19 sesuatu yang tidak kelihatan dan boleh ‘menyapa’ siapa sahaja tanpa mengira usia.

Justeru mari susun semula kehidupan. Pada peringkat awal ini, cuba ‘hentikan kehidupan 24 jam’. Tamatkan aktiviti yang biasanya berlarutan hingga awal pagi selewat-lewatnya 10 malam kecuali dalam bidang-bidang tertentu.

Hadkan aktiviti perniagaan malam terutama restoran 24 jam, kedai 24 jam, stesen minyak 24 jam, hiburan 24 jam, dan pelbagai lagi yang menyebabkan pelbagai masalah akibat aktiviti yang tidak teratur ini.

Mungkin langkah ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan kesihatan rakyat, mengelakkan pembaziran, mengurangkan masalah sosial, jenayah seperti penyalahgunaan dadah, maksiat, mabuk dan pelbagai lagi.

Ini bukan untuk menyekat kebebasan kehidupan tetapi mengekang penularan Covid-19 serta penyakit masyarakat yang lain. Serampang dua mata. Tidak salah sambil menyelam minum air. Setelah hampir tiga bulan hidup kita diatur PKP, tidak mustahil beberapa pendekatan itu perlu dikekalkan.

Related posts

Leave a Comment