Indonesia catat 609 kes baharu

THAILAND melaporkan satu kematian akibat Covid-19 dan satu kes positif baharu dalam tempoh 24 jam. Perkembangan ini menjadikan jumlah kes 3,083 manakala kematian 58.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian itu melibatkan lelaki warga Thai berusia 80 tahun dari Narathiwat.

Kes positif baharu pula melibatkan pelajar lelaki berusia 32 tahun yang baru tiba dari Arab Saudi melalui Kuala Lumpur dan menaiki bas ke Narathiwat melalui pintu masuk Padang Besar pada 25 Mei lepas.

Setakat ini, lapan daripada 39 penumpang bas itu didapati positif Covid-19.

Daripada 3,083 kes, sebanyak 2,966 pulih sementara 59 masih dirawat.

SINGAPURA melaporkan 544 kes positif baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 35,836 kes.

Kementerian Kesihatan republik itu berkata, data setakat 12 tengah hari ini menunjukkan kebanyakan kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama dan hanya empat kes jangkitan dalam komuniti.

Berdasarkan data penuh lewat Isnin, Singapura mengklasifikasikan 1,685 sebagai kes jangkitan dalam komuniti, 580 kes import dan 33,027 kes lagi melibatkan pekerja asing tinggal di asrama.

Seramai 22,466 pesakit atau kira-kira 64 peratus daripada 35,292 kes keseluruhan setakat semalam pulih sepenuhnya manakala 344 kes masih dirawat dengan tujuh di unit rawatan rapi, sementara 24 orang telah meninggal dunia.

INDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 kepada 27,549 dengan angka korban kini berjumlah 1,663 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan Covid-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 609 kes positif baharu dan 22 lagi kematian.

Ketika ini juga, seramai 13,213 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 518 kes diikuti Jawa Timur (418 kes), Jawa Barat (151) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

BRUNEI DARUSSALAM tidak merekodkan sebarang kes jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah kes kekal 141 orang, manakala kes sembuh, seramai 138 orang.

Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md Isham Jaafar berkata, hanya  satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan (National Isolation Centre – NIC) dan dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ExtraCorporeal Membrane Oxygenation – ECMO) dan mesin pernafasan.

FILIPINA melaporkan 359 kes iaitu 176 kes terkini dan 183 kes lewat sehingga pukul 4 petang hari ini menjadikan jumlah kes terkumpul 18,997.

Jabatan Kesihatan dalam laporannya juga memaklumkan enam lagi kematian Covid-19 menjadikan jumlah 966 kes.

Dalam tempoh yang sama sebanyak 84 kes pulih yang membawa kes sembuh keseluruhan 4,063 kes.

Related posts

Leave a Comment