BEKAS Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Paelimen Langkawi dipecat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa serta merta.
Turut dipecat empat ahli Parlimen Bersatu iaitu Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten Muhammad Suhaimi Yahya menerusi surat kepada kelima-lima ahli Parlimen itu pada Rabu.
Muhammad Suhaimi berkata ,keputusan itu dibuat kerana kelima-lima ahli parlimen itu enggan duduk di blok kerajaan ketika sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.
“Dalam sidang Parlimen pada 18 Mei 2020, YB telah duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin merangkap Presiden/Pemangku Pengerusi Bersatu. Sebaliknya, YB duduk di blok pembangkang,” katanya dalam surat itu.
Katanya keahlian Dr Mahathir bersama empat ahli Parlimen itu terhenti serta merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.
Sementara itu Dr Mahathir berserta empat yang lain enggan menerima pengguguran itu yang dianggap pemecatan yang salah serta bertentangan dengan undang-undang.
Menurut kenyataan bersama, mereka akan menggunakan saluran undang-undang untuk mempertahankan hak mereka.
Mereka tidak bersetuju dengan tindakan bahawa keahlian mereka itu dalam PPBM terhenti serta merta apatah lagi tidak memberikan hak kepada mereka untuk membela diri.
“Dakwaan yang terkandung di dalam surat berkenaan adalah bahawa tindakan kami berlima mengambil kedudukan di Parlimen pada 18.05.2020 sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan menyebabkan kami melanggar perlembagaan parti Bersatu.
Dilihat pada takrifan di atas, amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah,” jelas kenyataan tersebut.
Mereka turut menyatakan terdapat kecelaruan dalam pengurusan parti itu ketika ini di mana surat pengguguran itu ditandatangani oleh individu yang tidak sepatutnya.
“Ia ditandatangani oleh individu yang tidak diberikuasa di bawah perlembagaan parti dan tidak langsung menampakkan Bersatu ditadbir secara profesional. Tindakan seorang Setiausaha Kerja yang mengutus surat sebegini kepada yang diantaranya adalah para pengasas parti Bersatu sendiri adalah sangat menjelikkan serta biadab,” kata kenyataan itu.