Menyesuaikan kehidupan dengan wabak Covid-19

SINGAPURA : Sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika penularan wabak Covid-19 tahun ini bukan sekadar melambangkan kemenangan tetapi mengingatkan tentang perjuangan dan pengorbanan berterusan dalam usaha untuk melindungi nyawa dan menjaga keselamatan.

Mufti Singapura, Dr. Nazirudin Mohd Nasir berkata, masyarakat berusaha membuat pelbagai penyesuaian dengan terus duduk di rumah serta beribadah bersama keluarga walaupun ramai yang sedih merindui orang tersayang serta merindui para jemaah di masjid.

“Dalam situasi ini, kita tidak bertemu bukan kerana kita tidak suka, tetapi kerana kita sayang dan mahu melindungi antara satu sama lain. Inilah pengorbanan dan ibadah kita,” katanya dalam khutbah Hari Raya Aidilfitri Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang disiarkan melalui SGtv.

Beliau turut menarik perhatian apabila ada yang mengatakan kita hanya perlu takut kepada Allah, bukan pada virus.

“Masyarakat menyedari bahawa pemahaman seperti itu adalah satu penyelewengan agama, kerana agama ini mengelakkan semua kemudaratan dan bahaya yang mengancam nyawa,” katanya.

Menurut beliau, keimanan kepada Allah memupuk sikap bertanggungjawab, ketakwaan kepada Allah menjadikan kita manusia yang tidak cuai atau sanggup membahayakan orang lain.

Katanya, apabila masjid ditutup, masyarakat terkesan dan sedih tetapi mereka memahami sebab-sebabnya dan memilih untuk tidak hanya merundum dalam kesedihan tetapi sebaliknya bangkit mencari jalan untuk berbuat kebaikan.

“Masjid adalah pintu utama kepada kebaikan dan perpaduan, tetapi masyarakat terus melakukan kebaikan dengan beralih ke kelas agama dalam talian, terus menderma kepada yang memerlukan, terutamanya kepada pekerja perubatan barisan hadapan dengan menyediakan juadah berbuka puasa, serta menyediakan keperluan harian bagi pekerja asing,” katanya

Menurut beliau lagi, walaupun virus Covid-19 boleh sahaja melemahkan dan mematahkan semangat kekitaan tetapi masyarakat memilih untuk kekal utuh dan bersatu, dengan mengambil berat dan bersikap prihatin antara satu sama lain.

Dr. Nazirudin mengingatkan wabak seperti Covid-19 juga mempunyai kesan yang serius dan berpanjangan ke atas kehidupan beragama dan masyarakat perlu cepat menyesuaikan diri dan bersedia untuk menerima perubahan dan membuat penyesuaian yang berpatutan dengan syarak.

Katanya, keupayaan masyarakat untuk menyesuaikan diri dan kekal positif menjadi lebih penting sekarang ini, kerana kehidupan mungkin tidak akan kembali sama apabila penularan wabak menjadi lebih kerap.

Beliau mengambil contoh kebiasaannya selepas khutbah, masyarakat akan menziarahi ibu bapa dan sanak-saudara tetapi kali ini, mereka sedar perjuangan untuk membendung Covid-19 belum berakhir dan sebarang pertemuan secara fizikal boleh mendedahkan kepada risiko jangkitan Covid-19.

“Saya yakin bahawa setiap dari kita ingin melindungi ibu bapa dan warga emas kita. Jangan sampai kita kehilangan mereka buat selama-lamanya atau membahayakan mereka hanya kerana ingin bertemu mereka pada saat ini juga,” katanya.

Buat masa ini, mufti itu menyarankan supaya hubungan kekeluargaan dan silaturahim dikekalkan dengan menghubungi sanak-saudara menerusi telefon atau talian video seperti Skype, Zoom atau WhatsApp dan memohon kemaafan sesama kita serta berdoalah mereka.

Pemahaman masyarakat dalam hal ini juga secara tidak langsung akan membantu meringankan beban pekerja kesihatan yang telah mengorbankan keselamatan mereka untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

“Janganlah kita menambah risiko dan bebanan mereka. Kita mesti berusaha untuk kekal selamat, dan memastikan keselamatan orang di sekeliling kita, sebagai cara kita menunjukkan kepedulian dan keprihatinan terhadap pekerja kesihatan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment