Jumlah kes Indonesia 18,010

KES positif Covid-19 di INDONESIA meningkat kepada 18,010 dengan jumlah kematian pula mencecah  1,191 orang.

Sebanyak 496 lagi kes positif baharu dan 43 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 463 kes, diikuti Jawa Timur (209 kes), Jawa Barat (123) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Di THAILAND, tiga kes baharu dilaporkan yang turut melibatkan seorang lelaki berusia 55 tahun dan wanita, 29 tahun yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan sebelum ini di tempat kerja di wilayah Nonthaburi, Bangkok.

Satu lagi kes melibatkan seorang wanita berusia 27 tahun di wilayah selatan Phuket, menjadikan jumlahnya 3,031 dengan jumlah kematian kekal 56 orang.

Jurucakap Centre for COVID-19 Situation Administration (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, sehingga hari ini, 2,857 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang dari hospital manakala 118 masih menerima rawatan di wad hospital.

Sementara itu SINGAPURA  mengesahkan pertambahan 305 kes jangkitan menjadikan jumlah keseluruhan 28,343 kes.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan hanya dua kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap manakala jumlah majoriti melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Ketika ini terdapat 1,210 kes disahkan masih berada di hospital dengan 16 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan mengesahkan 205 kes baharu sehingga pukul 4 petang ini menjadikan jumlah kes 12,718.

Dalam tempoh yang sama tujuh kematian dilaporkan menjadikan 831 kes sementara 94 kes lagi sembuh menjadikan 2,729 kes pulih sepenuhnya.

BRUNEI DARUSSALAM pula terus kekal dengan 141 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan. Jumlah kes sembuh pula 136 di mana empat lagi masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, dua daripadanya kritikal.

Related posts

Leave a Comment