Trump ucap tahniah pada PM

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang memimpin kerajaan baharu sambil menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama komprehensif antara Malaysia dan AS.

Trump menyatakan demikian ketika menghubungi Muhyiddin malam tadi (Jumaat) dan berbual selama kira-kira 30 minit.

“Pada perbualan yang berlangsung selama 30 minit itu, saya dan Presiden Trump berbincang mengenai pandemik COVID-19 serta pendekatan-pendekatan yang telah diambil kedua-dua negara.

“Kami turut menekankan peri pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik itu ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global,” kata Muhyiddin menerusi catatan di laman sosial Facebooknya.

Selain itu, Muhyiddin dan Trump turut membincangkan usaha-usaha termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin COVID-19 kelak.

Muhyiddin berkata kedua-dua negara juga menzahirkan kesepakatan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain, terutamanya semasa krisis kesihatan global.

“Selain itu, kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama dalam konteks mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment