143,516 boleh ‘bergerak’

SEBANYAK 503,276 permohonan pergerakan antara negeri diterima, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.

Daripada jumlah itu, sebanyak 143,516 permohonan telah diluluskan manakala balai polis di seluruh negara menerima 13,069 borang manual pergerakan antara negeri sehingga semalam.

Orang ramai diminta mengemas kini butir-butir alamat asal dan alamat destinasi pada aplikasi berkenaan pada 4, 5 dan 6 Mei dengan segera.

“Ini merupakan langkah terakhir sebelum pelaksanaan pergerakan antara negeri yang akan bermula pada 7 Mei sehingga 10 Mei ini,” katanya.

Huzir juga meminta orang ramai mengemas kini aplikasi Gerak Malaysia ke versi 2.5 untuk pengguna android (Play Store).

Setelah dikemas kini, kod QR akan dijana dan boleh dipaparkan di skrin telefon bimbit masing-masing.

“Kod QR yang dijana ini adalah satu bukti bahawa permohonan pergerakan antara negeri telah diluluskan.

“Sebelum ini, saya telah maklumkan bahawa orang ramai yang hendak melakukan pergerakan antara negeri hanya perlu memohon dan kemas kini maklumat sahaja dan tiada kelulusan akan diberikan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kelulusan melalui kod QR ini terpaksa dilaksanakan kerana statistik awal menunjukkan seramai 503,276 orang telah membuat permohonan.

“Namun, hanya 29.5 peratus daripada jumlah pemohon telah mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri iaitu seramai 148,576 orang sahaja,” katanya.

Beliau berkata baki 70.5 peratus iaitu 354,700 orang daripada jumlah pemohon sebelum ini tidak mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri.

“Ini mungkin terjadi disebabkan dua faktor iaitu orang ramai berpendapat bahawa mereka hanya perlu memohon dan tiada kelulusan akan diberikan.

“Oleh itu, mereka boleh bergerak sahaja tanpa mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri atau kedua, mereka ini mungkin menunggu sehingga saat akhir untuk mengemas kini maklumat pergerakan antara negeri,” katanya.

Huzir berkata penjanaan kod QR adalah penting untuk memastikan tiada individu yang menyalahgunakan kemudahan ini dan mengambil kesempatan untuk melakukan pergerakan antara negeri yang masih tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata ia adalah untuk memastikan orang ramai yang benar-benar terkandas sahaja melakukan pergerakan antara negeri untuk pulang ke kediaman masing-masing dalam tempoh 7 hingga 10 Mei ini.

Huzir berkata penggunaan kod QR ini dilaksana untuk beberapa tujuan seperti membolehkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat perancangan penugasan bagi melancarkan aliran trafik.

Related posts

Leave a Comment