PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menyambut baik solidariti yang ditunjukkan pemimpin-pemimpin dunia dalam usaha melawan penularan wabak Covid-19.
Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata komitmen itu adalah tindakan kukuh dan memberi inspirasi terhadap solidariti global.
“Dalam sidang hari ini, 7.4 bilion euro berjaya diikrar untuk kajian dan pembangunan vaksin, diagnostik dan terapeutik. Ini adalah tindakan kukuh dan memberi inspirasi terhadap solidariti global,” katanya.dalam taklimat media berhubung Covid-19 di Geneva, 4 Mei.
Pemimpin dunia menyokong inisiatif itu menerusi sidang khas maya dianjurkan Kesatuan Eropah.
Tedros berkata, negara-negara itu bukan hanya menjanjikan sokongan kewangan tetapi juga menjanjikan komitmen untuk memastikan semua orang dapat mengakses rawatan untuk menyelamatkan nyawa bagi Covid-19.
Terdahulu, di Brussels, para pemimpin negara dan organisasi terkemuka dari serata dunia telah menyatakan ikrar untuk menyumbang sejumlah ASD$8 bilion (kira-kira RM34.5 bilion) untuk pembangunan dan pelaksanaan diagnostik, rawatan dan vaksin terhadap jangkitan Covid-19.
Persidangan turut disertai beberapa negara termasuk Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Norway, Sepanyol dan United Kingdom (UK). Amerika Syarikat (AS), tidak ikut serta.
Presiden EU, Ursula von der Leyen berkata, dunia menunjukkan penyatuan luar biasa demi matlamat yang sama. Kerajaan dan organisasi kesihatan sedunia bersama berjuang menentang koronavirus.
“Kita di landasan tepat untuk menghasilkan, mengeluarkan dan menggunakan vaksin untuk semua. Bagaimanapun ini hanya permulaan. Kita perlu mengekalkan usaha dan bersedia untuk menyalurkan lebih lagi sumbangan,” katanya.
Norway ikrar menyumbangkan $1 bilion sementara beberapa negara lain termasuk Switzerland – $381 juta, Belanda – $209.5 juta, Australia – $226 juta, Itali – $152.7 juta, Korea Selatan – $50 juta, Kuwait – $40 juta, Afrika Selatan – $1.3 juta, Kesatuan Afrika – $61 juta.
Turut menyatakan komitmen adalah Melinda Gates, pengasas bersama Yayasan Bill & Melinda Gates, yang berikrar menyalurkan $100 juta ke arah misi tersebut.