MEMILUKAN, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador ketika mengulas insiden yang menyebabkan kematian Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31 ketika sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), awal pagi Ahad, 3 Mei.
.
Anggota polis itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.
“Saya rasa sedih apabila pada awal pagi tadi dikejutkan dengan berita berlaku kemalangan ini yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya yang turut menganggap sebagai takdir.
Memang menyedihkan jika benar pemandu itu mabuk lebih-lebih lagi berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apa yang dicari pada pukul 2 pagi di jalan raya? Sepatutnya waktu itu tidak ada kenderaaan.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, semua pergerakan dihadkan. Namun, ada lagi yang sempat mengambil minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kemalangan maut. Itu adalah jelas satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” kata Abdul Hamid.
Sepatutnya minum sahaja di rumah dan kemudian mabuk di kediaman sendiri, atau di mana sahaja bukan keluar memandu sehingga membahayakan keselamatan pengguna dan petugas di jalan raya.
Di Thailand, sepanjang tempoh darurat, ketika wabak Covid-19 ini, kerajaan melarang penjualan alkohol sejak 4 April lalu. Bagaimanapun larangan itu ditarik balik hari ini 3 Mei tetapi alkohol hanya untuk dibawa pulang.
Memandangkan kes pemandu mabuk semakin kerap mengancam keselamatan nyawa, elok disegerakan hukuman yang lebih berat lebih-lebih lagi bagi kes membawa kematian. Tidak ada kompromi lagi kerana mereka ini sebenarnya boleh berfikir apa yang baik dan buruk jika memandu selepas minum arak.
Hukuman yang berat adalah sebagai pengajaran kepada semua pihak agar perkara seperti itu tidak berulang.