PUTRAJAYA 11 Jan. – Kementerian Luar menggesa rakyat Malaysia supaya menangguhkan sebarang perjalanan tidak penting ke Iran buat sementara waktu susulan kekacauan yang semakin meluas di negara itu.
Pada masa yang sama Wisma Putra juga menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang mengembara di kawasan terjejas supaya sentiasa waspada dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia juga amat digalakkan untuk mendaftar kehadiran mereka dengan Kedutaan bagi memastikan komunikasi dapat dilakukan tepat pada masanya.” kata satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Wisma Putra juga mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berada dalam keadaan selamat dan pihak kedutaan sedang aktif menghubungi mereka bagi memastikan kesejahteraan serta menyampaikan maklumat terkini.
Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran melalui telefon +98 21 8807 2444 / +98 21 8807 8606 atau telefon bimbit +98 933 535 2602 serta e-mel ke mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com
Kementerian itu berkata menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, pihaknya terus memantau rapat keadaan kekacauan berkenaan dengan demonstrasi kini merebak ke seluruh negara.
